Friday, June 3, 2011

2011

Sempena tahun 2011 yang dah masuk ke bulan 6, sedikit anjakan paradigma diterapkan ke atas layout blog ini. 

musim hujan

akhirnya aku berpeluang juga balik kampung. dari Bangi nak ke Kg Gajah ambil masa dalam 4 jam. itupun sebab ikut jalan tak haiway. kalau ikut haiway 3 jam dah sampai. tapi ni bila ikut jalan tak haiway tak boleh laju-laju sangat. sebab skil pemanduan aku belum sama taraf dengan Dominic dalam Fast 5. lagipun jalan kuala selangor tu pun bukannya elok sangat. traffic light rosak kadang-kadang.


kebetulan musim hujan sekarang ni. bila aku sampai  rumah hujan tengah lebat. ini yang aku rasa tak berapa sedap. macam mana nak lepak dekat kedai Jalal layan HBO sampai 3 4 pagi. sebab kedai Jalal tu mana ada dinding kiri kanan depan belakang macam KFC. jenis kedai macam ni separa open-air orang kata. jadi bila dah hujan suhu persekitaran menurun menyebabkan badan aku ni rasa tak sedap nak melepak. sedap tu lebih ke arah tidur pakai selimut tebal-tebal.

Wednesday, November 10, 2010

Otromen

“Aku bukan nak ngecek pulak” Pak Rasit berbisik perlahan.


“Udah jenoh..... Udah jenoh aku ke sane ke mari. Ni baru balik dari Jepun ni. Baru kejap tadi sampai”. Beliau berkata  sambil mengangguk sekali dua.

Terangkat kening dua orang pemuda yang mendengar kata-kata beliau itu tadi.

“ Kelmarin aku ke err... apename tempat tu. Peranshis. Aku pergi sana tak ada sapa pun tau. Aku memang nampak je macam ni tapi kome tak tahu”. Beliau bercerita lagi.

Kali ini dua pemuda tadi tidak lagi mengangkat kening tetapi mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Pak Rasit.

“Tapi Jepun paling seronok. Sebab ape nak tau? Sebabnye aku jumpe Otromen. Tak ade le besor macam dalam tv tu. Baye-baye  aku je tingginye”.
Pemuda tadi mula menyepak kaki antara satu sama lain.

“Ini le die. Bile aku cerita kome tak pecaye. Kalau kome tak pecaya sangat pergi tanya anak aku tu ha, Mat Kukis”.

Dan Pak Rasit pun berlalu pergi dan hilang dalam kepekatan malam meninggalkan dua orang pemuda tadi yang hampir separuh mati menahan gelak.

Saturday, October 16, 2010

Kempen Keluar Peluh

Peluh mula menitik. Rambut aku yang tadinya disikat kemas dan rapi kini sudah hilang kerapiannya. Ciri-ciri maskulin aku pun turut sama terjejas. Baju pun turut basah juga dan kebasahan itu lebih tertumpu pada bahagian ketiak.

Suara beberapa orang yang agak kurang hormat pada orang lain itu juga sedikit sebanyak menyumbang kepada suasana tegang ini. Seorang pakcik yang tadinya duduk kini dah berdiri sambil mengipas-ngipas menggunakan senaskah akhbar Kosmo kalau tak silap.

Keadaan macam itu berlarutan agak lama. Awek-awek mula hilang keunggulan. Mula-mula tadi aku tengok masing-masing senyum control ayu. Tapi sekarang masing-masing buat muka makhluk asing. Aku juga mula rasa nak maki orang belakang aku sebab badannya berbau makin kuat. Tapi aku simpan makian itu dalam hati bagi menghormati konsep 1 Malaysia.

Suara berborak pum pang pum pang makin menjadi-jadi tanpa kawalan. Sepatah haram aku tak faham. Bahasa yang digunakan agak asing bagi aku. Hindustan barangkali. Dan orang yang berborak itu juga orang hindustan barangkali. Barangkali juga mereka berasal dari Kelantan tetapi fasih berbahasa hindustan. Kebarangkalian ini juga membuat hati aku mula panas dan membara.

...................

Tren yang aku naik time tu rosak di stesen Kajang. 

Tayar pancit? Sebenarnya tren tidak menggunakan tayar jenis tiub mahupun tiubless. 

Aku sebenarnya suka naik kenderaan awam di Malaysia. Tapi apa yang buat semangat aku down adalah perkara macam ni. Tren delay. Tren rosak. Koc tengah untuk wanita. Benda macam ni yang buat aku menganak tirikan penggunaan kenderaan awam dalam aktivit harian. Walaubagaimanapun aku mesti cuba drive  tren suatu hari nanti.

Ps: secara tidak langsung aku telah mengkompelin Kementrian Kenderaan Awam.

Friday, October 15, 2010

kenapa rakyat malaysia kurang membaca

Kadang-kadang aku termenung seketika apabila melihat blog ini semakin suram. Dah lama tak ada entri baru yang boleh merangsang. Maksud aku merangsang minda. Rangsangan dalam bentuk lain tidak di ambil kira sama sekali.

Mungkin entri blog ini tak cukup hebat untuk merangsang pemikiran rakyat Malaysia secara amnya. Atau kurangnya minat membaca di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum namun menjadikan bahasa kaum mereka sendiri sebagai bahasa pengantara.

Mungkin kerajaan patut meningkatkan rangsangan budaya membaca kepada rakyat 1 Malaysia.
Kementerian Pembacaan harus ambil serius perkara ini.

s/k :   

Cikgu Besar
Sk Dato' Sagor
36800 Kg Gajah
Perak

Friday, September 24, 2010

Dunia Akhir Zaman

Malam itu hujan rintik-rintik. Angin pun boleh tahan dia punya ‘flow’. Aktiviti rempit nampak down time macam ni. Mungkin sebab jokie takut demam kena hujan. Atau takut air masuk dalam karburator lalu menjurus kepada kegagalan enjin.
Walaubagaimanapun keadaan malam itu, Pak Rasit masih setia mengayuh basikal merahnya ke kedai Jala. Tanpa memakai baju hujan.

Sampai saja di kedai Jala, dia menongkat basikal merahnya di belakang van Jala. Port baik katanya. Pak Rasit membuka bajunya yang basah itu lalu diperah sekuat hatinya.

Argghhhh...jerit Pak Rasit mendayu-dayu sambil membuat perahan terakhir. Baju itu masih lagi basah. Sama basah seperti belum diperah kerana perahan Pak Rasit tadi tidak langsung berjaya memberi impak yang besar. Namun dia redha lalu memakai kembali baju itu kembali.

Keadaan kedai Jala time tu agak down. Di bahagian depan cuma ada 3 orang sedang minum sambil menonton tv cerita 18sg. Di bahagian belakang pula ada ramai sikit. Suara paling kuat pun datang dari bahagian belakang. Mungkin mereka tengah bincang masalah Pasaraya Halida yang tengah down sekarang ni. Sulaiman Akhlakin seperti biasa. Tunduk memandang henpon beliau dengan khusyuk. Begitu juga dengan Pie.

Di penjuru kedai itu ada 2 remaja sedang minum juga. Eddy dan Syimam. Mereka baru lagi masuk scene Jala ni. Sebelum ni Eddy dan Syimam lepak di kedai Siam. Tapi semenjak Jala mempunyai pekerja jambu bernama Labu, mereka sering ke situ.
 
Pak Rasit terus ke meja mereka.Sambil membetulkan duduk Pak Rasit berkata:
 
‘Dunia ni dah akhil baligh’.

Imam dan Eddy tunduk diam seribu bahasa.




Friday, September 3, 2010

The Fundamental Of Pak Rasit


Jauh di pedalaman. Jauh dari hingar-bingar dan jerit pekik bandar Kole Lumpor. Jauh dari segala kesesakan dan kepulan asap-asap kereta yang terperangkap di kesesakan lalu lintas, kepulan asap-asap kilang industri...

Pak Rasit gagah mengayuh basikal merah beliau melintasi deretan kedai di Pekan kecil Kg Gajah. Tanpa mempedulikan tayar basikalnya yang kurang angin.

Pak Rasit yang dulunya lebih dikenali sebagai Mat Rasit Handal kini sudah berumur dimamah usia. Kulit muka Pak Rasit nampak lebih berkedut dari bajunya sendiri. Misai panjang melentik yang mula bertukar putih juga sudah hilang ‘market’ nya. Rambutnya pula semakin putih akibat uban. Dan bau badannya juga semakin hilang wangi.

Pak Rasit masih lagi mengayuh basikal merahnya...

Basikal merah  itu lah menjadi temannya setiap hari ke hulu ke hilir. Tanpa basikal itu Pak Rasit bukan lagi Pak Rasit. Tanpa basikal itu juga Pak Rasit tak dapat pergi layan gusti sambil pekena teh di kedai Jala. Tanpa basikal itu dia tak dapat ke pasar. Dan tanpa basikal itu juga dia tak dapat mencari rezeki untuk menyara anaknya, Mat Kukis.

Pak Rasit masih mengayuh dengan tenang...

Pak Rasit tiba-tiba seperti hendak memberhentikan basikalnya itu. Dia cuba menarik brek tapi gagal kerana brek basikalnya itu sudah lama gagal berfungsi. Lalu dia melompat turun dari basikalnya dengan tangkas. Basikalnya dibiarkan bergerak lalu menghentam tong sampah.

Pangg....

Kelihatan beberapa ekor kucing lari bertempiaran. Pak Rasit tetap tenang. Dia menyeluk kocek. Mengeluarkan sekotak rokok Astro kegemarannya.

Sambil menghembus asap rokok panjang-panjang, Pak Rasit memerhatikan keadaan sekeliling dengan pandangan yang tajam. Matahari mula siap untuk pulang. Lalu membiarkan sang bulan ‘take over’. Burung-burung terbang pulang ke sarang. Untuk berjumpa anak-anak burung dan emak burung. Begitu juga dengan ayam. Semua pulang.

Sekali-sekala Pak Rasit terbatuk. Diludahnya kahak yang sekian lama menghuni kerongkongnya ke tanah. Dia batuk lagi. Kali ini tak ada kahak. Cuma air liurnya sahaja. Pak Rasit senyum sambil mengurut dadanya. Dia kembali fokus.

Pak Rasit memandang jauh ke arah tong sampah besar milik MDPT atau majlis daerah perak tengah  yang berwarna biru, sama warna dengan baju pegawai majlis daerah itu sendiri. Tema agaknya. Dalam tong sampah biru besar itulah rezeki orang tua itu.

Bebarapa saat sahaja Pak Rasit sudah berada dalam tong sampah biru besar itu. ‘Professional’..bisik Pak Rasit dalam hati sambil tersenyum puas.

Lalat yang banyak kali hinggap di mukanya tidak sikit pun mengganggu kosentrasi. Kadang kala lalat itu masuk ke dalam mulutnya. Dia masih buat tak tahu. Mungkin sudah sebati dengan mulutnya. Mungkin juga lalat itu kawan beliau. Atau mungkin juga binatang peliharaan beliau.

Pak Rasit mula mengorak langkah yang agak lemah tapi kemas. Menggeledah segala macam sampah yang memenuhi tong sampah. Bau busuk tidak lagi busuk bagi beliau. Yang penting fokus. Dia tahu di sinilah rezekinya. Di sinilah kerjayanya dan di sinilah kariernya. Walau berjuta hinaan yang diterima, Pak Rasit akan tetap ke sini, ke tong sampah besar biru. Setiap hari.

Walaupun tayar basikalnya kurang angin.




Search This Blog