Friday, September 3, 2010

The Fundamental Of Pak Rasit


Jauh di pedalaman. Jauh dari hingar-bingar dan jerit pekik bandar Kole Lumpor. Jauh dari segala kesesakan dan kepulan asap-asap kereta yang terperangkap di kesesakan lalu lintas, kepulan asap-asap kilang industri...

Pak Rasit gagah mengayuh basikal merah beliau melintasi deretan kedai di Pekan kecil Kg Gajah. Tanpa mempedulikan tayar basikalnya yang kurang angin.

Pak Rasit yang dulunya lebih dikenali sebagai Mat Rasit Handal kini sudah berumur dimamah usia. Kulit muka Pak Rasit nampak lebih berkedut dari bajunya sendiri. Misai panjang melentik yang mula bertukar putih juga sudah hilang ‘market’ nya. Rambutnya pula semakin putih akibat uban. Dan bau badannya juga semakin hilang wangi.

Pak Rasit masih lagi mengayuh basikal merahnya...

Basikal merah  itu lah menjadi temannya setiap hari ke hulu ke hilir. Tanpa basikal itu Pak Rasit bukan lagi Pak Rasit. Tanpa basikal itu juga Pak Rasit tak dapat pergi layan gusti sambil pekena teh di kedai Jala. Tanpa basikal itu dia tak dapat ke pasar. Dan tanpa basikal itu juga dia tak dapat mencari rezeki untuk menyara anaknya, Mat Kukis.

Pak Rasit masih mengayuh dengan tenang...

Pak Rasit tiba-tiba seperti hendak memberhentikan basikalnya itu. Dia cuba menarik brek tapi gagal kerana brek basikalnya itu sudah lama gagal berfungsi. Lalu dia melompat turun dari basikalnya dengan tangkas. Basikalnya dibiarkan bergerak lalu menghentam tong sampah.

Pangg....

Kelihatan beberapa ekor kucing lari bertempiaran. Pak Rasit tetap tenang. Dia menyeluk kocek. Mengeluarkan sekotak rokok Astro kegemarannya.

Sambil menghembus asap rokok panjang-panjang, Pak Rasit memerhatikan keadaan sekeliling dengan pandangan yang tajam. Matahari mula siap untuk pulang. Lalu membiarkan sang bulan ‘take over’. Burung-burung terbang pulang ke sarang. Untuk berjumpa anak-anak burung dan emak burung. Begitu juga dengan ayam. Semua pulang.

Sekali-sekala Pak Rasit terbatuk. Diludahnya kahak yang sekian lama menghuni kerongkongnya ke tanah. Dia batuk lagi. Kali ini tak ada kahak. Cuma air liurnya sahaja. Pak Rasit senyum sambil mengurut dadanya. Dia kembali fokus.

Pak Rasit memandang jauh ke arah tong sampah besar milik MDPT atau majlis daerah perak tengah  yang berwarna biru, sama warna dengan baju pegawai majlis daerah itu sendiri. Tema agaknya. Dalam tong sampah biru besar itulah rezeki orang tua itu.

Bebarapa saat sahaja Pak Rasit sudah berada dalam tong sampah biru besar itu. ‘Professional’..bisik Pak Rasit dalam hati sambil tersenyum puas.

Lalat yang banyak kali hinggap di mukanya tidak sikit pun mengganggu kosentrasi. Kadang kala lalat itu masuk ke dalam mulutnya. Dia masih buat tak tahu. Mungkin sudah sebati dengan mulutnya. Mungkin juga lalat itu kawan beliau. Atau mungkin juga binatang peliharaan beliau.

Pak Rasit mula mengorak langkah yang agak lemah tapi kemas. Menggeledah segala macam sampah yang memenuhi tong sampah. Bau busuk tidak lagi busuk bagi beliau. Yang penting fokus. Dia tahu di sinilah rezekinya. Di sinilah kerjayanya dan di sinilah kariernya. Walau berjuta hinaan yang diterima, Pak Rasit akan tetap ke sini, ke tong sampah besar biru. Setiap hari.

Walaupun tayar basikalnya kurang angin.




No comments:

Search This Blog